Sejarah Kelantan FA

Evolusi logo Kelantan FA
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1946. Pasukan yang lebih dikenali sebagai "The Red Warriors" ini berpangkalan di Kota Bharu, ibu negeri Kelantan. Sebelum era permodenan bola sepak Kelantan, pasukan ini lebih dikenali sebagai pasukan Kijang Emas mengikut jata negeri Kelantan. Stadium utama pasukan Kelantan FA ialah Stadium Sultan Muhammad Ke-IV yang berkapasiti 30,000 penonton.
Musuh Tradisi
Terengganu merupakan seteru tradisi bagi Kelantan. Pertembungan dua musuh berjiran ini dikenali sebagai pertembungan “Derbi Pantai Timur” bagi kawasan Semenanjung Malaysia. Bahang pertembungan kedua-dua pasukan ini turut menular di kalangan para penyokong kedua-dua pasukan yang sentiasa menghidangkan aksi-aksi tegang kedua-dua pasukan mahupun para penyokong mereka.
Kemunculan Kelantan United pada 2016 dalam kancah bola sepak tempatan telah mewujudkan "Derbi Darul Naim" di kalangan penyokong kedua-dua pasukan. Lebih uniknya, pasukan ini berkongsi stadium yang sama.
Zaman Gelap
Sejarah tertulis dalam buku bola sepak Kelantan dimana pada tahun 2005, Kelantan merupakan satu-satunya negeri yang tersingkir ke tier liga terendah dalam Liga Malaysia, iaitu Liga FAM setelah berada ditangga tercorot dalam Liga Perdana tahun sebelum itu.
Antara faktor utama, kelantan terjerumus ke Liga FAM ialah ialah masalah pengurusan dan bebanan kewangan. Pada waktu itu juga ramai pemain-pemain tonggak utama kelantan telah berhijrah keluar akibat masalah kewangan yang kritikal.
Era Kebangkitan
Lanskap bola sepak Kelantan berubah pada tahun 2007 apabila Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Haji Musa (TSAM) diberi kepercayaan menerajui KAFA bagi penggal 2007/2010. Beliau kemudiannya telah merevolusikan pasukan dengan mengubah logo dan gelaran pasukan kepada "The Red Warriors".
Tahun pertama TSAM bersama Kelantan sudah menampakkan peningkatan apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam Liga Perdana musim 2007. Malahan dalam saingan Piala Malaysia pula, walaupun Kelantan gagal melayakkan diri ke suku akhir Piala Malaysia, tetapi kejutan yang dilakukan di peringkat kumpulan sedikit sebanyak menyaksikan kebangkitan Kelantan tidak harus dipandang rendah.
Pada musim 2009 Kelantan mampu berbangga kerana berjaya melangkah ke dua final iaitu bagi Piala FA dan Final Piala Malaysia. Namun kedua-dua perlawanan menyaksikan hanya bergelar Naib Juara sahaja. Pada musim 2010 Kelantan akhirnya mencipta sejarahnya tersendiri apabila berjaya mencapai status Naib Juara Liga Super dan Juara Piala Malaysia. Pencapaian Kelantan terus gemilang pada musim 2011, Kelantan sekali lagi mencipta sejarah buat kali pertama merangkul Piala Sultan Hj Ahmad Shah dengan menewaskan Selangor.
Musim 2012 menjadi kemuncak prestasi bagi Kelantan apabila berjaya mencatat kejuaraan treble dengan merangkul kejuaraan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Pink Warriors
Kesilapan pengurusan kembali menghantui Kelantan pada musim 2016 sehinggakan kantung kewangan KAFA kembali parah. Kemunculan Datuk Seri Vida (DSV) sebagai penaja sebanyak RM16 juta bagi tempoh 2 tahun untuk menyelamatkan pasukan Kelantan diterima dengan tangan terbuka oleh TSAM.
Akibatnya, TSAM terpaksa akur dengan dua syarat pelik daripada DSV yang mahukan jersi utama pasukan dan stadium menggunakan warna merah jambu. Gelaran pasukan juga ditukarkan kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW).
Pada penghujung musim 2016, DSV mengumumkan untuk menarik diri bagi menaja Kelantan kerana tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan dan kurang mendapat keuntungan. Berita ini disambut dengan gembira oleh sebilangan penyokong setia Kelantan.
Madam of Football
Selepas pengunduran TSAM sebagai presiden, musim 2018 menyaksikan buat pertama kali KAFA diterajui oleh presiden wanita iaitu Bibi Ramjani Ilias.
Bibi telah melantik jurulatih dari Syria, Fajr Ibrahim yang diragui kemampuannya di peringkat tempatan. Fajr dilihat lebih gemar menggunakan khidmat pemain muda. Namun, segala masalah bermula apabila Fajr mula membuang pemain senior berpengaruh seperti Khairul Fahmi dan Badhri Radzi sebelum menghilangkan diri dan meletakkan jawatan secara kontroversi.
Akibatnya, Kelantan terperosok ke tangga kedua dasar Liga Super dan tersingkir ke Liga Premier.
Post a Comment
0 Comments